|

11 JUTA GUNA BANKCARD MENJELANG JUN
- 1 March 2003
Malaysian Electronic Payment System (1997) Sdn Bhd (MEPS) menjangka kira-kira 11 juta pemegang kad juruwang automatik (ATM) akan menggunakan kad berasaskan cip atau Bankcard akhir Jun ini.
Bankcard yang dilengkapi aplikasi pelbagai-guna menawarkan kemudahan pembayaran dengan tahap keselamatan dipertingkatkan, akan digunakan secara menyeluruh bagi menggantikan kad ATM jalur magnetik yang akan dimansuhkan penggunaannya 1 Julai ini.
Pengerusi MEPS, Datuk Amirsham A Aziz, berkata Bankcard yang dibangunkan menerusi teknolgi cip turut menggabungkan urusniaga ATM dengan kemudahan pembayaran elektronik menerusi fungsi eDebit dan MEPS Cash atau eDompet.
Kedua-dua fungsi eDebit dan eDompet adalah cara pembayaran yang mudah tanpa memerlukan tunai dan lebih selamat kepada pengguna dan peniaga.
Katanya, MEPS Cash sesuai digunakan untuk pembayaran dalam nilai kecial, sementara e-Debit membolehkan jumlah pembelian ditolak daripada akaun simpanan atau akaum semasa pemegang Bankcard ke dalam akaun peniaga.
Sehingga kini kira-kira 3,800 mesin ATM sudah dinaik tarafkan dengan keupayaan membaca kad berasaskan cip dan 974 ATM menyediakan perkhidmatan tambah nilai wang elektronik MEPS Cash.
"Usaha akan dipertingkatkan bagi menambah bilangan pedagang untuk menerima Bankcard dan mendidik mereka mengenai faedah dan kelebihan teknologi berasaskan cip yang lebih selamat," katanya selepas majlis pelancaran Bankcard di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan MEPS, Datuk Mohd Hata Robani.
Amirsham berkata, Bankcard yang ketika ini boleh diguna pakai di 3,000 perniagaan serta boleh juga digunakan untuk membayar tol.
Katanya, Bankcard yang dilengkapi cip pintar boleh diprogrammkan untuk pelbagai aplikasi dengan mempunyai tahap keselamatan yang tinggi dan berkeupayaan menyimpan data bagi mengelakkan klon.
Projek Bankcard yang dimulakan sejak tahun lalu disertai 12 bank iaitu Alliance Bank, Kumpulan AmBank, Bank Islam, Bank Muamalat, Bumiputra-Commerce Bank dan Affin Bank.
Bank lain ialah EON Bank, Hong Leong Bank, Kumpulam Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Southern Bank.
Amirsham berkata, sejak suku akhir tahun lalu, bank berkenaan turut membuat pelaburan besar abgi meningkatkan taraf prasarana dan sistem ATM termasuk menyediakan terminal pembelian di semua perniaggan yang terbabit dalam projek Bankcard.
"Bagi menampung sebahagian kos yang ditanggung dan usaha memberi perkhidmatan ditambah nilai kepada pengguna bankcard, institusi perbankan turut mengenakan yuran tahunan sehingga RM8.
"Kadar yuran yang dikenakan bagaimanapun berbeza bergantung kepada bank yang bebas untuk meningkat keupayaan aplikasi dan memberi nilai tambahan kepada Bankcard yang dikeluarkan," katanya.
Bankcard atau kad Pembayaran Pelbagaiguna (PMPC) adalah salah salah satu aplikasi di bawah Koridor Raya Multimedia (MSC), sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan kegiatan pembayaran elektronik.
|