Majlis Penyerahan Van Jenazah

MEPS - Majlis Penyerahan Van Jenazah

Kuala Krai 8 September 2016 – Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) hari ini menyumbangkan sebuah van jenazah kepada Masjid Mukim Mengkebang untuk manfaat penduduk kariah Mukim Mengkebang dan sekitarnya. Van tersebut telah diserahkan oleh En Zulkananin Kassim, Pengarah Urusan Kumpulan MEPS kepada Tuan Haji Che Soh bin Majid selaku wakil dari pihak Masjid Mukim Mengkebang.

Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah pengagihan wang zakat kepada 30 keluarga asnaf fakir dan miskin sumbangan MEPS dan Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sumbangan van jenazah kepada kariah ini telah mula diutarakan oleh Encik Zulkanain sendiri yang juga merupakan Pengerusi Alumni Sekolah Kebangsaan Kuala Krai. Beliau dimaklumkan oleh wakil masjid bahawa pihak masjid terpaksa meminjam lori atau pick-up dari penduduk kampung untuk membawa jenazah di kariah mukim tersebut. Prihatin dengan keadaan ini, MEPS terpanggil untuk menghulurkan sumbangan bagi pembelian van jenazah tersebut.

“Pemberian van jenazah ini adalah sebagai salah satu perlaksanaan fardu kifayah bagi pihak kami kepada masjid-masjid yang memerlukannya terutama di kawasan-kawasan luar Bandar. Kami amat berbesar hati kerana dapat membantu mereka yang memerlukan dan ini adalah salah satu tanggung jawab sosial korporat bagi MEPS khasnya”, kata Encik Zulkanain pada majlis penyerahan van jenazah tersebut.

Tambah En Zulkanain, “ Kami juga berharap dengan usaha kami ini, dapat membuka mata syarikat-syarikat besar yang lain di luar sana atau individu-individu yang berkemampuan untuk membantu penduduk kampung khasnya kemudahan-kemudahan asas yang lain”.

Dianggarkan terdapat seramai 8000 penduduk yang terdiri daripada 1500 keluarga di Mukim Mengkebang. Tuan Haji Che Soh bin Che Majid, selaku Imam Masjid Mukim Mengkebang mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MEPS kerana prihatin dan mendengar masalah yang kami hadapi.